34 ikan hiasan kanibal dan import perlu permit

  

Pengusaha, pemilik kedai dan pembeli ikan hiasan perlu memohon atau memperbaharui permit memelihara ikan kanibal dan import dalam tempoh dua bulan ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Nor Aisyah Abu Bakar berkata sebanyak 34 jenis ikan kanibal dan import yang memerlukan permit antaranya keli Afrika, piranha, flower horn, bawal merah, ikan naga, ikan buaya dan baung ekor merah.

"Sebelum ini memang perlu permit untuk bela ikan hiasan itu cuma kali ini kami akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan ekosistem terpelihara daripada virus serta penyakit baharu yang berisiko dibawa 34 spesies ikan import dari pelbagai negara.

"Mulai 3 Julai ini, mana-mana pengusaha,pemilik kedai dan pembeli ikan hiasan yang gagal memohon permit boleh dikenakan tindakan menurut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 Pindaan 2011 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas kempen kesedaran memohon permit ikan hiasan, di George Town hari ini.

Kempen itu susulan taklimat larangan 34 jenis ikan kanibal dan import di perairan kepada 33 pengusaha ikan hiasan di Pulau Pinang pada 19 April lepas.

Nor Aisyah berkata hasil pemantauan pihaknya bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung dan Pusat Kuarantin Pertanian dan Perikanan (Maqis) di enam premis menjual ikan hiasan semalam dan hari ini mendapati mereka memiliki pelbagai ikan kanibal dan import dengan permit tamat tempoh.

Beliau berkata jika pengusaha enggan memperbaharui atau memohon permit, mereka boleh menyerahkan semua spesies ikan itu kepada FRI atau Maqis untuk penjagaan dan kajian lanjut termasuk pelupusan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Permit itu adalah percuma dan kami minta pengusaha memohonnya supaya kami dapat rekodkan jumlah sebenar ikan hiasan itu, kami bimbang sekiranya ikan-ikan berkenaan dibeli pembeli yang tidak mempunyai permit, mereka akan melepaskannya ke perairan dan ia memberi pelbagai risiko kepada hidupan laut," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melepaskan spesies ikan yang dilarang itu di perairan negeri ini agar tidak mengganggu keseimbangan kepelbagaian bio, habitat dan spesis ikan asli di perairan negeri ini sehingga menjadi dominan di sesuatu kawasan.

"Dalam pemeriksaan di sebuah kedai ikan perhiasan di Air Itam, kami menemui dua ekor ikan naga seberat lebih 100 kilogram dan berusia 11 tahun dibela dalam kolam di situ tanpa permit dan saya telah menasihatkan pemiliknya untuk memohon permit.

"Selain itu, berdasarkan pemantauan juga mendapati harga ikan hiasan yang disenarai itu boleh mencecah ribuan ringgit berdasarkan permintaan pembeli dan pasaran," katanya.

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~