"Sayang,Tunggu Ibu Di Syurga Tau" Luahan Wanita Di Ceraikan Suami Ketika Anaknya
KISAH BENAR!! "Sayang, Tunggu Ibu Di Syurga Tau" - Luahan Wanita Yang Di Ceraikan Suami Dengan Talak 3 Ketika Anaknya Masih Dalam Kandungan
Saya kenal dia semasa saya berumur 22 tahun. dan dia berumur 26 tahun. Hubungan kami bermula sebagai kawan, dengan sikapnya yang penyayang, baik, caring, membuatkan saya jatuh cinta.
Pekerjaan dia hanyalah sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah hospital. Saya bekerja sebagai cikgu tadika. Disebabkan sayang, saya tidak kisah bila orang kata kami tidak sepadan atau saya layak mendapat lelaki yang lebih baik. Saya langsung tidak ambil peduli apa yang orang katakan.
Cukup 6 bulan kami berkenalan, Alhamdulillah akhirnya kami bernikah. Kenduri kecil-kecalan sahajan tetapi saya bersyukur dapat menjadi isterinya.
Disini, bermulalah perjalanan hidup saya. Selepas nikah, kami tinggal di rumah flat. Rutin harian seperti biasa dan terasa amat bahagia. Tetpi rumah tangga mana yang tidak diuji kan?
Hampir dua tahun kami berkahwin, kami belum diberikan rezeki anak. Pelbagai kaedah kami telah cuba dan adakalanya saya berputus asa. Namun suami sentiasa memberikan kata-kata semangat dan sokongan. Keluarga juga tidak pernah menyisihkan kami.
Sampailah satu masa saya rasa sikap dia sudah berubah. Dia menjadi kerap marah dan saya hanya mendiamkan diri. Satu hari, Allah mahu menunjukkan kepada saya di mana saya ternampak dia bersama dengan seorang perempuan.
Balik ke rumah, saya bertanya padanya tetapi dia hanya mendiamkan diri. Saya marah, tetapi disebabkan rasa hormat pada suami itu masih ada, saya cuma mendiamkan diri. Hubungan kami pula menjadi dingin selepas itu. Suami pula menjauhkan diri daripada saya.
Selepas dari saya terjumpa dia, saya kerap mual, dan pening. Bila pergi ke klinik, doktor mengesahkan saya mengandung. Alhamdulillah. Dia orang pertama yang saya ingin beritahu tentang perkhabaran yang mengembirakan itu.
Balik saya ke rumah, saya ternampak dia dengan perempuan itu. Dia panggil saya dan berterus terang yang mereka sudah terlanjur banyak kali. Malah suami membuat keputusan untuk mengahwini perempuan itu.
Saya tergamam, saya pegang perut. Allah! Saya tengok dia lama-lama.
"Awak pilih saya atau dia?" tanya saya perlahan.
Lama dia mendiamkan diri. Dia datang dekat pada saya dan dia peluk saya lama-lama. Selepas itu dia melepaskan pelukan itu dan ucapkan kalimah yang saya tidak akan lupakan sampai mati.
"Saya ceraikan awak dengan talak tiga,"
Masa itu saya rebah, menangis meraung tetapi dia tetap berada di sisi perempuan itu. Dia ambil beg dan serahkan pada saya. Waktu itu saya faham yang saya sudah kehilangan dia buat selama-lamanya.
Saya melangkah pergi dari rumah itu. Bermula saat itu saya berdikari. Saya jaga sendiri kandungan saya selama 9 bulan. Bekas suami langsung tidak pernah menghubungi saya malah dia tidak tahu langsung yang saya mengandungkan anak dia. Itulah ujian bagi saya.
Selepas anak dilahirkan, saya besarkan dia sendiri tanpa seorang suami. Keluarga minta saya tinggal bersama tetapi saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya wanita yang kuat.
Ketika umur anak saya genap 2 tahun, saya diuji lagi. Kami terlibat dalam kemalangan, saya tidak mengalami kecederaan yang teruk tetapi anak saya meninggal dunia tanpa sempat berjumpa dengan ayahnya. Pada masa itu, saya bukan lagi wanita yang kuat. Semangat saya sudah hilang dan saya kembali pada keluarga.
Malam kedua selepas anak saya dikebumikan, bekas suami tiba-tiba muncul. Saya benar-benar benci melihat wajahnya pada waktu itu. Saya ambil gambar anak dan baling pada dia.
Dia tanya siapa kanak-kanak dalam gambar itu? Saya menangis, "Itu anak saya tetapi dia tak ada ayah. Ayah dia dah ceraikan saya talak tiga sewaktu saya mendapat tahu dia ada di perut saya. Dia anak saya tetapi Allah dah ambil dia sebab kalau dia tahu dia tiada ayah, mesti dia sedih,".
Saya menangis sekuat-kuat hati, dia terduduk. Dia meminta maaf dan mengakui menyesal dengan apa yang telah berlaku namun segalanya sudah terlambat. Saya suruh dia balik. Dari hari itu, dia sudah mati dari hidup saya.
Selepas kejadian itu, saya pulihkan kembali semangat saya. Saya tinggal dengan keluarga, merekalah jiwa saya sekarang.
Kepada wanita, tolong jadi kuat. Masih ada yang sayangkan kita. Tolong jangan jadi lemah, hargailah orang yang terima kita sebab tidak semua menghargai kita. Semasa saya tulis ini, saya menatap gambar anak syurga saya.
"Sayang, tunggu ibu di syurga tau,"