PM dan isteri serikan majlis perkahwinan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama pengantin ketika hadir majlis perkahwinan anak perempuan Menteri KKMM, Datuk Seri Salleh Said Keruak di Kampung Likas, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, di Kampung Likas, di sini, malam ini. Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira jam 8.30 malam disambut Salleh dan isterinya, Datin Seri Raya Erom. Najib dan Rosmah turut menepung tawar kedua-dua mempelai, Syazeera Salleh, 27, anak kedua Salleh, dengan pasangannya Mohd Syafiee Izuddin Mohd Hanan, 28. Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berserta menteri Kabinet Persekutuan dan negeri. Pasangan mempelai Syazeera dan Mohd Shafiee dinikahkan sendiri oleh Salleh di hadapan jurunikah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pada majlis tertutup malam 28 April lalu. Terdahulu, Najib tiba dari Manila selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 di negara itu, tengah hari tadi.