'Bukan Kedah tidak mahu menang'

'Bukan Kedah tidak mahu menang'

Kedah akan berkunjung buat kali kedua minggu ini di Ipoh bagi menghadapi Perlawanan Liga Super dengan menentang Perak pada Rabu.

USAHA memburu kemenangan bagi meningkatkan kembali moral Kedah gagal apabila tewas tipis 1-0 kepada PKNP pada Suku Akhir Kedua Piala FA 2017 di Stadium Perak, kelmarin.

Biarpun tetap mara ke separuh akhir dengan agregat 6-2 untuk bertemu Terengganu, kekalahan tersebut menyaksikan masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Kedah bagi mengembalikan semula keyakinan mereka yang hilang pada dua perlawanan terdahulu.

Selepas PKNP, Kedah mencatatkan tiga keputusan perlawanan tidak memberangsangkan selepas seri 1-1 dengan PKNS sebelum tewas mengejut 5-0 kepada T-Team di peringkat saingan Liga Super.

Ketua pasukan, Syawal Nordin berkata, pasukannya mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol namun gagal dimanfaatkan sebaik mungkin oleh jentera serangan.

Menurutnya, secara keseluruhan semua pemain berjaya mengikut semua arahan dan corak yang dimahukan oleh pasukan kejurulatihan.

"Kami hadir ke sini memang untuk memburu kemenangan moral namun gagal berikutan setiap peluang yang terhidang tidak dimanfaatkan dengan baik.

Bukan Kedah tidak mahu menang perlawanan ini kerana sudah memperolehi lima bekalan gol pada suku akhir pertama tetapi sebenarnya kami gagal menjaringkan gol di sini," katanya.

Jelas Syawal, pasukan itu memburu kemenangan untuk mengembalikan semula moral mereka yang dilihat sedikit merundum sejak beberapa perlawanan lalu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berkunjung ke Ipoh buat kali kedua minggu ini bagi menghadapi aksi ke-11 Liga Super dengan menentang Perak pada Rabu.

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~