kekuatan mental dapat meningkatkan keyakinan pemain skuad...
KUANTAN: Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Che Nasir Salleh, mahu pemain lebih fokus kepada aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini, berbanding terlalu memikirkan soal kelebihan dua gol dimiliki.
DATUK Che Nasir Salleh. - Foto Muhd Asyraf Sawal Mengakui Pahang bakal berdepan tugas getir beraksi di gelanggang lawan, dia berkata hanya kekuatan mental dapat meningkatkan keyakinan pemain skuad kendalian Dollah Salleh itu. "Kita tahu aksi malam ini lebih banyak membabitkan kekuatan mental pemain, baik pemain Pahang atau JDT, mereka kena kawal mental jika mahu mempamerkan aksi yang bagus. "Memang kita ada kelebihan dua gol, tapi itu tidak bermakna pemain boleh selesa. "Saya percaya Dollah mempunyai percaturan terbaik untuk aksi malam ini, kita harap perlawanan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Pahang menang 3-1 pada aksi pusingan pertama saingan Piala FA yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini, dua minggu lalu. Che Nasir berkata, perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini dijangka menyaksikan kebangkitan pemain Harimau Selatan itu yang beraksi di depan penyokong sendiri. Katanya, pemain Pahang perlu memantapkan barisan pertahanan dan cuba mengelak daripada pemain JDT menguasai bahagian tengah. "Kekalahan 2-3 pada aksi Liga Super lalu sudah membuktikan mereka (JDT) mampu melakukan kebangkitan terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri. "Saya harap pemain tidak mengikut rentak permainan lawan, sebaliknya fokus kepada arahan jurulatih untuk mara ke final," katanya.