ASAL USUL DAERAH DI JOHOR MENDAPAT NAMA ???

ASAL-USUL NAMA TEMPAT DI JOHOR

Asal-usul nama pada sesuatu tempat boleh muncul bergantung kepada beberapa sebab. Ada tempat mendapat namanya dari nama haiwan, ada juga berpunca dari nama tumbuhan, peristiwa-peristiwa dan tak kurang yang mendapat nama sempena nama tokoh tempatan. Antara contoh nama tempat di Johor yang unik dan punya maksud tersendiri adalah seperti Gelang Patah, Kelapa Sawit, Kukup, Rengit, Sungai Mati, Layang-layang, Tongkang Pecah, Buluh Kasap, Puteri Menangis, Tenang, Lima Kedai dan banyak lagi.
Artikal kali ini, biar saya mulai dengan asal-usul nama untuk pusat-pusat pentadbiran bagi sepuluh buah daerah di seluruh Negeri Johor. 
 
1. Johor Bahru.
Nama ini berasal dari gabungan nama negeri ‘Johor’ dan kata ’baharu’.  Asalnya, pemerintah Johor menitahkan pembangunan sebuah kota yang baharu perlu dibangunkan di Tanjung Puteri (di muara sungai Segget) bagi menggantikan Teluk Belanga di pulau Singapura sebagai Ibu negeri Johor yang baharu memandangkan pulau itu telah diserahkan kepada British. Ibu kota yang baharu itu kemudiannya dinamakan Johor Bahru, bermaksud ibu negeri Johor yang baharu.
 
2. Batu PahatNama Batu Pahat dikatakan berasal dari peristiwa memahat batu untuk mencari bekalan air tawar di kawasan pantai dekat dengan sebuah kuala sungai (sungai Batu Pahat sekarang). Kerja memahat batu ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (bangsa Siam bukan bermaksud Thai) di bawah pimpinan Awi Dicu pada tahun 1456  yang ketika itu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Batu-batu yang telah terpahat itu berbentuk perigi yang sekarang dinamakan Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat.
 
3. MuarMuar lahir daripada perkataan ‘muara' bermaksud kuala sungai. Pada zaman dahulu, penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara sebatang sungai. Versi lain mengatakan, nama itu tercipta berdasarkan kata ‘muna-aru’ yang bermaksud tiga sungai dalam bahasa Tamil yang dinamakan oleh pedagang-pedagang dari India pada masa dahulu. Ketiga-tiga sungai itu merujuk kepada sungai Muar, sungai Serting dan sungai Pahang.
 
4. MersingAsal Mersing kononnya berpunca dari nama seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh bernama Amer Singh yang dihukum buang daerah ke suatu tempat terpencil kerana melakukan kesalahan berat pada zaman dahulu. Hukuman berlaku ketika kawasan Mersing waktu itu belum menjadi tumpuan ramai penduduk. Bagi merujuk tempat buangan pesuruh sultan itu, penduduk sekitar menyebutnya Amersingh hingga tempat itu kekal namanya menjadi Mersing hingga ke hari ini.
 
5. SegamatSegamat berasal dari ungkapan kata ‘segar amat' yang lahir dari mulut Bendahara Tun Tepok dalam pelariannya bersama Sultan Ahmad dan pengikut ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang mengalami penyakit lumpuh, terpaksa diusung ke perahu. Oleh kerana pada hari itu cuaca agak panas, Bendaraha Tepok berhajat mandi di dalam sungai. “Segar amat rasa badan ini” kata Bendahara Tepok setelah selesai mandi. Ungkapan ‘segar amat’ ini menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan tempat yang mereka singgah itu sebagai Segamat pelesetan dari ungkapan segar amat. 
 
6. PontianNama Pontian dikatakan berasal dari kata ‘perhentian' bermaksud tempat berteduh dari gelora laut Selat Melaka. Dua batang sungai yang saling berdekatan kedudukannya sering digunakan oleh nelayan dan pelayar yang hendak ke Melaka atau Singapura sebagai tempat berteduh. Tempat ini juga sering digunakan sebagai tempat perhentian oleh para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Kata ‘Pontian’ itu akhirnya dipakai sebagai nama untuk tempat tersebut hasil evolusi dari nama Perhentian. 
 
7. Kota TinggiKota Tinggi mendapat namanya sempena lokasi sebuah kota yang dibina di atas kawasan tanah tinggi di tebing sungai Johor bagi menangkis serangan Portugis yang ketika itu sedang bernafsu melenyapkan saki-baki kuasa Kesultanan Melayu Melaka yang telah ditundukkannya pada tahun 1511. Kota ini seterusnya berkembang menjadi ibu kota pertama bagi kerajaan Johor-Riau sebelum musnah dalam beberapa siri serangan oleh angkatan perang Aceh dan Portugis.
 
8. TangkakNama Tangkak timbul dari gabungan dua perkataan ‘tang’ dan ‘merangkak'. Peristiwa itu berlaku ketika seorang peneroka, Long Mahmud bersama tujuh saudara yang dikatakan terpaksa merangkak untuk naik ke tebing sebatang sungai kerana tanah sekitar kawasan itu lembut dan mudah jerlus ketika melintasinya. Kerana kebiasaan tabiat merangkak, penduduk setempat menyebut tang Merangkak bagi merujuk kawasan itu. Ungkapan ‘tang' memang biasa digunakan orang Melayu bagi merujuk suatu tempat.
 
9. KluangBandar Kluang diambil namanya sempena nama seekor haiwan, keluang, sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk setempat berjaya membunuh haiwan lain seperti tupai dan sebagainya yang menceroboh dusun, tetapi mereka gagal menghalau keluang yang begitu banyak datang ke situ lebih-lebih lagi pada waktu petang. Haiwan keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit (sekarang Gunung Lambak) di belakang kampung mereka. Akhirnya khidmat dukun terpaksa dipanggil untuk mengadakan suatu upacara di bukit tersebut bagi memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung.
 
10. Kulai
Kulai berasal  dari perkataan Gui Lai, dari dialek Cina yang bermaksud ‘Kura-kura datang’. Menurut sejarahnya, kawasan Kulai sering menerima bencana banjir bila tibanya musim hujan. Bila banjir, berpuluh-puluh kura-kura akan muncul dari tebing sungai berdekatan dan bergerak menuju ke petempatan masyarakat Cina Hainan. Oleh masyarakat Cina, nama kawasan ini dinamakan Guilai hingga lama-kelamaan berubah menjadi Kulai.

Rujukan: www.johordt.gov.mywww.sirloinskipper.fotopages.com

Sebuah nukilan Mohd Fazli Abdullah 

 

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~